Rebut hartanah di bandar
Oleh ANUAR AHMAD
Pakar pelaburan hartanah selalu berkata, bila membeli hartanah sama ada tanah, kediaman atau ruang perniagaan, ada tiga perkara penting yang mesti difikirkan iaitu lokasi, lokasi dan lokasi. Sememang petua ini masih benar walaupun telah lama diucapkan.
Semenjak beberapa tahun lalu, para penganalisis hartanah telah pun meramalkan bahawa nilai hartanah untuk perumahan dan ruang perniagaan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru akan mengalami peningkatan harga berkali ganda.
Faktor kenaikan ini dikatakan bermula dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan dan juga pelan jangka panjang kerajaan melaksanakan pembangunan koridor wilayah di seluruh negara. Ramalan para penganalisis ini nampaknya benar-benar berlaku sejak akhir-akhir ini bermula dari penghujung tahun lalu.
Jelas sekali permintaan terhadap rumah kediaman pelbagai jenis dan bangunan kedai sangat menggalakkan. Sokongan pihak kerajaan melalui perancangan pembangunan fizikal seperti pembinaan lebuh raya dan persimpangan bertingkat, stesen LRT yang baru di dalam bandar dan sebagainya telah menyebabkan kadar pertumbuhan bangunan-bangunan di bandar besar semakin rancak dilaksanakan.
Ditambah lagi dengan kejayaan kerajaan membawa masuk pelaburan luar negara berbilion ringgit telah meningkatkan lagi kadar pembangunan di bandar besar. Memang sejak 50 tahun merdeka, Malaysia telah membangun dengan begitu pesat sekali. Di sana sini berbagai rupa bentuk kediaman dibina.
Jika dulu masyarakat hanya mengenali jenis rumah banglo, teres, berkembar dan kondominium, kini pelbagai bentuk baru telah dibina. Bentuk rumah bandar, service apartmen, kondotel, villa resort telah mula diperkenalkan oleh pihak pemaju hartanah kepada masyarakat.
Pelancaran
Di sana sini, di bandar besar khususnya Kuala Lumpur, Pulau Pinang serta Johor Bahru, pelancaran projek perumahan dan bangunan kedai begitu giat berlaku. Rakan-rakan penulis di kalangan ejen hartanah begitu bersungguh-sungguh mempromosi kawasan seperti Damansara, Puchong, Cheras dan Bangsar.
Bagi sektor perumahan di Petaling Jaya, kawasan lokasi yang mendapat sambutan hebat adalah seperti di Kota Damansara, Taman Tun Dr. Ismail, Damansara Perdana, Damansara Pelangi dan Ara Damansara. Kawasan ini dianggap sebagai kawasan ‘panas’ oleh para ejen hartanah.
Kata seorang rakan berbangsa Cina, “Tahun ini di dalam kepercayaan Cina ialah Tahun Tikus, feng shui yang paling baik bagi hartanah di sekitar Kuala Lumpur ialah di Damansara dan Puchong,” ujarnya.
Antara percaya dan tidak, penulis berkesempatan ke satu majlis pelancaran jualan kondominium mewah di Pelangi Damansara baru-baru ini selepas dijemput berkali-kali oleh rakan. “Tak beli pun tak apa, datang tengok-tengok saja,” pujuknya. Perjalanan dengan kereta melalui Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) melalui Kelana Jaya dan Bandar Utama hingga ke Pelangi Damansara, jelas sekali menampakkan seluruh kawasan ini akan menjadi kawasan segi tiga emas yang baru selepas Bukit Bintang di Kuala Lumpur.
Pelbagai kedai dibuka dengan kemudahan seperti pasar raya, bank, kawasan untuk bersukan dan rekreasi disediakan oleh para pemaju di kawasan ini.
Sambutan di bilik pameran begitu meriah. Pengawal keselamatan terpaksa meminta para pengunjung bergilir-gilir kerana kesesakan berlaku di dalam bangunan. “Nampaknya ramai betul orang yang berminat untuk membeli,” sapa penulis kepada pengawal di pintu masuk. “Memang Encik, ada juga yang sudah mula tunggu dari jam empat pagi tadi,” balas pengawal dengan mesra.
Di dalam bilik pameran, para jurujual sibuk melayan soalan bakal pembeli. Tiba giliran penulis, jurujual pantas berkata, “Encik orang Melayu yang pertama saya jumpa hari ini.”
Penulis melihat jam di tangan, hampir jam 11 pagi. Sudah hampir dua jam bilik pameran dibuka, baru ada seorang bakal pembeli Melayu, fikir penulis. Melihat di sekeliling bilik pameran memang benar, hampir kesemua bakal pembeli adalah kalangan bukan Melayu yang sedang rancak untuk membeli hartanah tersebut.
Setelah urusan selesai, penulis sempat berbual dengan beberapa bakal pembeli dan rata-rata tujuan mereka membeli adalah untuk pelaburan jangka panjang. Ini bukan rumah pertama atau kedua mereka, malah ada yang sudah memiliki tujuh dan lapan buah hartanah rumah dan bangunan kedai yang disewakan.
Jelas senario ini menunjukkan satu klise masyarakat Melayu yang tidak begitu memandang serius soal pelaburan hartanah perumahan khususnya di kawasan strategik di bandar besar. Memang harganya lebih tinggi daripada kawasan lain yang kurang strategik tetapi dari segi nilai hartanah dan pulangan sewaan, hartanah seumpama ini adalah jauh lebih menguntungkan.
Jelas orang Melayu tidak bersedia untuk memiliki hartanah yang mahal dan berkualiti tinggi di bandar besar. Membeli hartanah yang mahal tentulah memerlukan modal tunai yang besar. Kerana tidak berkeupayaan, jalan keluar yang mudah ialah membeli hartanah yang bernilai lebih rendah di kawasan yang kurang strategik.
Itu pun jika masih ada yang berkemahuan untuk membuat pelaburan. Lebih ramai orang Melayu sekadar berpuas hati dengan memiliki sebuah rumah berkos rendah atau sederhana sahaja.
Semasa majlis pelancaran hartanah tersebut, penulis juga sempat bertemu dan berbual dengan sebuah keluarga Cina yang telah membeli kondominium mewah tersebut dengan wang yang dikongsi bersama-sama ahli keluarga.
“Kalau seorang susahlah mau beli, tapi kalau kongsi ramai-ramai bolehlah beli lebih sikit,” ujar kakak sulung keluarga itu kepada penulis. Penulis dimaklumkan keluarga mereka sudah membeli enam kediaman untuk disewakan sejak tiga tahun yang lalu.
Melayari blog di Internet berkaitan hartanah di Kuala Lumpur, sekali lagi jelas kumpulan masyarakat Cina lebih ramai yang serius membincangkan tentang potensi hartanah di Kuala Lumpur.
Hampir kebanyakan blogger adalah di kalangan masyarakat Cina. Ada di antaranya merancang untuk membeli lebih daripada satu hartanah tujuan pelaburan walaupun baru mula bekerja. Rata-ratanya blogger adalah eksekutif muda yang baru berkerja, malah sejak awal lagi telah menyatakan sasaran dan berazam untuk membeli hartanah di lokasi berkualiti tinggi.
Persoalannya di mana orang Melayu dalam isu ini, khususnya generasi muda? Bagaimana masyarakat Melayu berinteraksi dan mendapat maklumat untuk meningkat pengetahuan berkaitan hartanah.
Tahniah dengan galakan kerajaan sehingga institusi kewangan Melayu dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat memiliki dan melabur dalam bidang hartanah tetapi itu adalah satu isu lain. Isunya, di mana orang Melayu secara individu atau dalam bilangan yang ramai berusaha untuk memiliki hartanah di lokasi yang berkualiti tinggi di bandar besar.
Jelas sekali keadaan semasa menunjukkan individu Melayu belum bersedia berjuang untuk memiliki hartanah di lokasi yang berkualiti tinggi.
Nampaknya perlu ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk menggalakkan masyarakat Melayu supaya lebih bersedia untuk membeli kediaman di kawasan yang ‘panas’ seperti Damansara, Puchong, Bangsar dan seumpamanya kerana prospek dan potensi yang tinggi untuk pelaburan.
Merebut
Oleh kerana kita hidup di zaman siapa kaya dia punya, siapa cepat dia dapat, orang Melayu seharusnya lebih bijak untuk merebut peluang yang ada. Para pemimpin Melayu sama ada dalam parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) harus perlu lebih terbuka mindanya dalam menafsirkan erti perjuangan bangsa.
Apalah ertinya kuasa politik dalam parti jika kita terpaksa menyewa pejabat untuk aktiviti parti daripada bangsa lain. Pemimpin Melayu harus bersedia bangun untuk mencari jalan bagaimana orang Melayu dalam jumlah yang ramai boleh melabur dalam hartanah secara individu.
Sememangnya tidak dapat dinafikan DEB dan RMK-8 telah berjaya menyedarkan orang Melayu tentang pentingnya penguasaan ekonomi tetapi nampaknya itu tidak mencukupi. Jika para pemimpin Melayu terdahulu telah berjaya melaksanakan usaha penambahan ekuiti orang Melayu melalui skim saham amanah dan penguasaan dalam GLC, pemimpin hari ini perlu menggandakan usaha untuk mencari jalan bagaimana meningkat keupayaan orang Melayu secara individu.
Strategi supaya setiap individu Melayu boleh menikmati tahap ekonomi yang lebih baik harus dicari segera atau lebih banyak hartanah yang berkualiti tinggi di bandar besar dimiliki oleh orang lain. Janganlah bila sudah terhantuk baru kita tengadah, bila sudah tiada baru kita merayu, dan bila sudah hilang baru timbul rasa sayang.
Menurut beberapa ejen hartanah yang berpengalaman, orang Melayu biasanya lebih cenderung untuk membeli rumah di kawasan perumahan yang baru dibuka di pinggir dan luar bandar. Mereka tidak tertarik untuk membeli kediaman di tengah-tengah pusat bandar atau kawasan elit kerana harganya yang mahal.
Walaupun kebanyakan perumahan yang baru menawarkan bayaran pendahuluan serendah 10 peratus daripada harga rumah, rata-rata orang Melayu tidak bersedia untuk mengeluarkan wang membeli perumahan yang berada di lokasi berkualiti tinggi.
Salah satu punca utama ialah tiadanya budaya menyimpan yang tegar di kalangan orang Melayu. Budaya menyimpan bila ada lebihan atau menyimpan bila perlu ditinggalkan oleh orang Melayu. Tanpa tabungan yang kukuh, orang Melayu akan terus ketinggalan dalam persaingan ekonomi sama ada hartanah, pelaburan saham, dan juga perniagaan.
Menurut kawan penulis berbangsa Cina, juga seorang peniaga yang telah berjaya, orang Cina kuat menyimpan. “Tak simpan duit mana boleh kaya, kalau mau mula bisnes pun mesti mau pakai modal, modal kecil untung kecil, modal besar, untung lagi besar,” kata beliau kepada penulis.
Memang penulis bersetuju dengan cakap beliau. Pada peringkat kerajaan, agenda tabungan dan simpanan untuk orang Melayu memang telah dilaksanakan tetapi dalam bentuk ekuiti.
Persoalannya sekarang orang Melayu perlu juga menyimpan supaya boleh memiliki hartanah di lokasi berkualiti tinggi di bandar-bandar besar, tujuannya bukan untuk bersaing dengan bangsa bukan Melayu tetapi supaya Melayu boleh berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan kaum lain, demi kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian kaum dan negara untuk jangka panjang.
* ANUAR AHMAD ialah pensyarah Sosiologi Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.